Sunday, August 30, 2009

Singgah sebentar



Bismillah... benar-benar lama tidak menyusun aksara di lapangan ini. Walau sebelum ini bertekad mahu sentiasa bermain huruf, namun siapa yang lebih bijak mengatur alam? Sebetulnya, sudah hampir dua bulan aku menjejak kaki ke tanah air tercinta. Benar, terlalu banyak yang menukar rutin hidupku, berbeza amat dengan rutin harianku di tanah anbiya' sana. Apa khabar agaknya orang-orang sana? Masih bernafas sama nada? Masih berjalan mengikut rentak? Masih ketawa sama irama? Atau aku sendiri yang bertukar lagu..???

HARAPAN & KERJAYA

Alhamdulillah, sudah dua minggu aku bergelar seorang guru di salah sebuah Maahad di Perak tercinta. Menjadi pendidik sudah memang cita yang ku impikan sejak di bangku sekolah. Masih segar di kotak ingatan, tika usia baru mahu menginjak ke alam persekolahan, kerap benar aku bermain 'pondok-pondok'. Tetapi bukan pondok-pondok masakan atau kekeluargaan, pondok-pondok aku ialah persekolahan. Lucu benar mengingati zaman itu. Tapi, kelucuan itu bukan lagi ketawa tika ini. Akalku pusing mengingati harapan yang sekolah sandarkan pada diri kerdil ini. Terasa berat menggalas. Memikirkan tahap prestasi pelajar-pelajar dalam penguasaan madah yang ku ajar, cukup buat aku sempit. Masa untuk tahun ini sudah suntuk. Peperiksaan makin menjengah diri, sempatkah???

RAMADHAN KAREEM

Berkesempatan mahu berdedikasi, selamat meningkatkan amalan di bulan mulia. Tahun ini, siapa yang akan menduduki kelas pertama? kelas kedua? atau ada juga yang mengambil economi class? Mudah-mudahan kita diberi kekuatan, ruang dan peluang untuk merebut ganjaran-ganjaran yang berlipat-lipat kali malah berganda-ganda meninggi. Harapan juga pada diri sendiri.

"KULLU SANAH WA ANTUM ILALLAHI AQRAB, WA ILA THOA'TIHI ADWAM, WA A'N ILMA'SI ABA'D WA ILA ALJANNATI AQRAB WA ILA ARRASULI ATBA' WA A'N ALNIRAN AB'AD"

JUMPA LAGI...







Tuesday, June 23, 2009

Anak dalam Daulah



Masih ingat pada ammar? Ya..'anakku' yang ku tinggalkan 2 tahun lepas. Tuhan saja yang tahu betapa rindu mahu mendakap anak cerdik ini. Dulu bicaranya pelat, sekarang makin petah. Dulu giginya sebatang, kini penuh menutup gusi. Anak kecil ini bagai keliru, mana satu rumah tok wannya. Tapi jiwanya dirumah kami. Pernah dia terjaga pukul satu pagi ketika tidur dirumah umminya, abahnya bertanya "kenapa tak tidur?" ammar menjawab " nak pegi umah tok wan..." Aduh-aduh, eratnya dia dengan tokwan..ammar..ammar.





Dah pandai makan sendiri? Dekat kedai makan pulak tue..amboi ammar, memang makin besar dan bijak nie. Ingat lagi ammar selalu mintak susu botol pada mak lang..masa tue, ammar kecik lagi, belum pandai duduk atas kerusi suap nasi sendiri. Jenuh mak lang kejar keliling meja nak suap ammar makan..ingat lagi??





Amboii..sakan bercuti ye..ditinggalnya adiknya amir nazran kat umah..apela ammar nie..sian adik amir. Lafaz biasa yang kusering dengar dari mulut adik bongsuku.."ammar manja ngan abah" huhu, adik jeles ke ngan ammar??


Ammar bersama tok wan dan tok yang amat-amat menyayanginya. Cemburu jugak yang lain pada ammar. Em..kita tengok ape cerita bila fateh muncul... ;-)


Haa..nie la pesaing ammar skang. Muhammad al-Fateh bin Mohd Fuad. Fateh bulat mata bersama mak sunya..Isy...isy..tembamnya anak saudara (sulong) mak lang nie...macam anak arab pun ada. Teringat lewat perbualanku dengan ammar "ammar, fateh mana?ammar tak ikut fateh kee?" jawab ammar "tak boleh ikutt..mak ngah marah ammar kacau fateh.." Haa....skang carta ammar macam makin turun..ye kee?? Jom tengok gambar selanjutnya...

Ya Allah, rezeki anak kecil ini, muda-muda lagi sudah dijemput ke tanah suci. Ha ammar, ape cita skang??fateh berjalan jauh ngan tok wan..nape ammar tak ikut?? kesian ammar, dua minggu kena tinggal..tapi mak lang yakin, doa-doa dari tok dan tok wan tak penah lekang untuk ammar..


Ok...nie fateh bersama toknya. Comel berihram. Melihat gambar-gambar terkini dari keluarga, makin tidak sabar mahu menjejak kaki ke tanah air..melihat wajah-wajah baru, merenung wajah-wajah yang sudah lama ditinggalkan. Semoga Allah mudahkan segala urusan. Ha Ammar, jangan risau, carta ammar masih kekal ye..sebab fateh tinggal kat Kuala..ammar masih dekat dan rapat dengan tok dan tok wan.. suka la tue.. ;-)

Tuesday, June 16, 2009

Muhasabah daulah

"O Allah..please guide me...."
Payahnya menjaga hati. Jenuh menepis, makin kuat menampar-nampar. Sakit. Lagi laju berlari, makin dekat ia mengejar. Pedih. Tika duduk berdiam, ia menjerit tidak tenang. Pilu. Bila sibuk memujuk, menjadi-jadi ragamnya. Aduh. Dimana silapnya? Dugaan atau ada yang tidak kena? Diam.
Semalam, ia ketawa, sekelip mata ia mula mengesyak. Bisikan? Semalam juga ia baik berbicara, cepat ia beramarah. Terasa? Paginya ia tenang berzikir, sampai petang ia sedikit berantakan. Disindir?
Mula mengamuk-ngamuk melepas rasa, habis orang keliling menjadi mangsa. Memandang dunia dengan amarah, melihat manusia dengan nafsu benci. Bernafas keluar bunyi dengusnya. Latih menjadi baik atau penat mengejar kebaikan?
Nilai sendiri, kira sendiri, hisab sendiri, muhasabah sendiri. Diam dan tafakur seketika. Lihat pokok, lihat awan, lihat bintang, lihat mentari, lihat laut, rasa angin, pegang dedaun, sentuh bunga, bagaimana mereka begitu tenang ditempat mereka? tidak macam-macam ragamnya? diam dan akur sahaja, sekali pandang mahu berkali mengulang. Tenang amat!
-END-

Monday, June 15, 2009

Dirimu begitu berharga

Hari ini 15 June 2009. Genap usia yang ke 26 buat sahabat tersayang dari Kelantan. Aku mahu berbicara dengannya, hampir 4 tahun kami tidak bersua. Aku amat-amat merinduinya. Teramat!!!
Kak su,
Sihat-sihat hendaknya, ya. Usia bukan satu angka yang boleh mematah semangat kita. Betulkan?ia cuma satu angka sebagai tanda untuk kita sama-sama ingat bahawa, makin pendek usia kita disini. Aduh kak su..ida amat rindu mahu kecek kelate dengan kak su, ida amat b erkeyakinan berbahasa loghat itu, tapi kak su selalu ketawakan ida..sabar je la. Erm..Kak su, jika tiada aral, kaki ida nie akan jejak ke tanah air Julai nanti. Jika berkelapangan, bolehla kita jumpa kan..dulu masa di KUSZA, ida selalu ke rumah kak su di paser putih..masih ingat kita Berramadhan di rumah kak su? seronok suasana Negeri Kelantan. Kenangan bersama kak su banyak. Ida masih ingat masa ida sakit ****, kak su lah yang selalu tengok-tengokkan ida. Pengorbanan tu ida ingat sampai sekarang. Kak su temankan ida ke bilik air..kak su bawakkan makanan untuk ida..kak su temankan ida waktu malam. Banyak lagi kenangan kita kak su..ida nak bicara disini amat panjang. Terlalu banyak manis dan pahitnya. Masih ada waktu untuk kita begitu? atamanna..
Kak su,
Kek coklat tue ida ambil dari internet, ida tak sempat nak design untuk kak su. Kelas ida panjang, dan waktu yang lain, homework yang penuh. (tapi kadang-kadang main jugak hehehe)
Oklah kak su, sengaja ida paparkan warkah ni kat sini, biar sahabat-sahabat lain tau, yang kita masih dekat, kan? Tahniah masih diberi ruang mengecapi nikmat umur baru, bagaimana rasanya ya??
Kak su,
Salam sayang dari kejauhan, semoga bertemu lagi...

Daulah kecil

Hati.
Ya, mengapa?
hidup ini percaturannya keliru,kan?
Mengapa begitu soalnya?
aku jadi bingung...runsing dan tidak aman dalam nafas.
Kau keliru tentangku?
ya..tentang dirimu.
Ketawa.
Aku bingung mengapa seluruh tentera-tenteramu kerap melaksana ma'ruf, tapi kulihat dirimu seperti menari sendirian, aku jadi runsing. Apa salah amalan ma'ruf ini atau kau sendiri yang enggan menenang diri?
tenang diri?dimana kau lihat aku tidak tenang?aku begini-begini aja.masih di duduk tetapku.Tekun memerintah tentera-tenteraku melaksana amal.Mengapa timbul persoalan ini?
Aku sebahagian dari anak buahmu, tapi kurasakan negara yang sedang kau tadbir sedikit goyah..dan kadang-kadang ku terasa kuat negara bergetar.Selamatkah kita?
Oh..kau bicara tentang keselamatan?tentang keamanan? kau pernah menziarah tentera-tenteraku yang sedang sakit?kau pernah ziarah anggota keluarga tenteraku yang sudah mati?kau pernah melawat seluruh anak buahku yang yatim piatu tanpa tempat bergantung??pernah??
apa maksudmu?kau menunding jari padaku?
Aku tidak menunding jari padamu, tapi cuba kau lihat, memang benar seluruh jelataku melaksana ma'ruf, tapi mereka melaksana dalam buta, mereka menurut perintah dalam rasa perlu dan mesti taat, tanpa ada apa-apa rasa lain yang sepatutnya perlu ada.
Maksudmu..bagaimana?aku kurang jelas.
Diam.
Hati, berbicaralah denganku lagi..jangan kau sepi. Ini soal negara kita, soal kita yang hidup bersama!
Kau kemari, cuba kau mata, bagaimana ia menjaga pandangan. Disebelah mata, telinga itu apa yang didengar setiap waktu..mulut yang punya teman karib bernama lidah, bagaimana mereka melontar suara? Kau lihat juga tangan yang lembut itu, bagaimana ia melakukan kerja amal? bersama zikrullah kah? Kaki yang laju bergerak, kemana halanya? Jangan ditanya lagi soal makanan..huh..aku jika hilang sabarnya mahu saja aku mati.
Jangan hati, nanti, negara kita masih boleh diubah..kita mampu..teruskan apa lagi yang kau lihat tentang jelatamu.
Aku amat runsing tentang makanan-makanan yang masuk ke kantung perut. Kasihan perut. Aku tahu perut penat bekerja, tapi mulut dan tangan tanpa segan tidak menapis dahulu makanan-makanan yang masuk ke dalam perut. Kata perut, dia tak sanggup merosakkan aku, kerana segala hasil makanan itu perut akan hantarkan kepadaku. Kata perut, banyak makanan yang gigi kunyah mempunyai syubhah...kau tahukan hasil memakan makanan syubhah ?akulah yang pertama terkena kesannya.
Ooh..kasihan kau , hati..
Lagi, kesan dari itu, apa sangat yang mampu aku berikan pada rohaniku?aku sendiri sakit, bagaimana aku mahu beri makanan pada rohaniku?rohaniku amat kasihan, semua lantaran kerja tenteraku yang tidak bijak menapis amal ma'ruf. Memang memberi isi pada perut satu amal, tapi bagaimana caranya??
Hati..aku faham situasi kau. melihat keadaanmu yang begini, memang payah untuk kita sama menguatkan kembali pertahanan negara kita.
Tidak payah! amat mudah sebenarnya. Aku yang perlu menyucikan dan membaik pulih diri sendiri, aku sudah punya i'lajnya, tapi aku perlukan kekuatan istimrar dengan i'laj ini.
Hati, kau perlukan aku?
Ya, kau jagakan tentera-tenteraku, kau awasi mulut dan tangan supaya menapis segala kerja amal untuk perut. Kau lihat kaki, kemana langkahnya, kau kawal bicara kalam dari mulut, kau perhati telinga, ajarkan ia mendengar yang baik-baik, mengerti?
Ya, aku terima segala pesanan ini.

-END-





Saturday, June 13, 2009

Walidayya

" Ya Allah, rahmati dan lindungi mereka,bahagiakan hidup mereka, tenangkan hati mereka, ampunkan dosa-dosa mereka, masukkan mereka dalam SyurgaMu tanpa hisab..."
Lewat sms lalu pada abah : "abah, tiket dah tempah, i'Allah balik XX Julai nie..doakn.."
Sms berbalas, ringkas " Alhamdulillah..."
Itu saja abah? tapi cukup buat aku faham maksud itu. Lafaz abah itu tanda syukur yang boleh dierti begini.."balik jugak anak abah nie.."
Sms juga dikirim pada mak : "mak, dah tempah tiket..ok ke tarikh tue?"
berbalas dari mak : " ok..dah bagitau abah ke?"
( ketika itu mak dihospital jaga tok sakit, jadi mesti bersms kepada dua pihak..)
Dua minggu abah berada dimekah bersama mak, adik, abg ngah ,kak inah dan al-fateh cukup buat kami terasa dekat. Lewat talian ketika abah dimekah :
"idah, jadi balik tarikh tue kan?"
"jadi abah,i'Allah.."
"cantik..cantik..."suara abah bahagia amat.
Sebenarnya berkali tarikh kepulanganku ke tanah air bertunda dan bertunda. Asalnya dirancang awal Mac..ditunda awal Jun, dan Alhamdulillah, sudah bertarikh tetap (moga-moga). Lama benar tidak bersua dengan keluarga, moga-moga aku punya kesempatan berbakti pada mak dan abah tersayang.
Hati makin kuat menjerit mahu pulang, bila menziarahi beberapa sahabat yang baru dikurnia cahaya mata. Melihat besar pengorbanan seorang ibu dan ayah. Airmata bergenang..mak melahirkan sembilan orang..bagaimana mak??Subhanallah..


Jadi,hari ini, sengaja mahu berperasaan. Sepanjang dua minggu yang lalu, kerap dihubungi abah dan mak. Bahagia mendengar suara mereka. Suara seolah bercahaya dan berseri. Aku makin tidak sabar untuk pulang...nantikan..

Tuesday, June 09, 2009

Zikir Bunga



Satu pagi, bunga tidak seperti biasa. Bunga enggan mengembang menyambut hadir sinar mentari. Bunga bersedih? Kumbang tercari-cari madu bunga yang manis, namun tidak berjaya. Mengapa bunga?

Bunga : " aku mahu terbang tinggi. Mahu melepasi langit ketujuh. Jika tidak boleh, aku mahu menyelam jauh ke dasar laut, biar hilang bayangku di muka dunia.."

Bunga, kau bersedih dengan kehidupan?atau kau putus harapan pada pencipta?
Bunga : "aku tidak pernah putus harapan pada al-Khaliqku, malah cinta zikirku makin memuncak. Tapi aku kini berzikir dalam sedih dan pilu"
Mengapa bunga?kau hilang kerabat?
Bunga : "kerabatku masih bernyawa dan terus melaksana tugasan sebagai makhluk bunga. Kami tidak pernah lupa dan melupakan, malah kami sering ingat mengingati, jika kau mampu dengari, alam ini indah lagu zikirnya, berirama dan indah bunyinya"
Jadi bunga, mengapa kau mahu ke langit ketujuh atau ke dasar laut paling dalam? mengapa tidak saja terusan berzikir diakarmu yang menjalar?
Bunga : " kau bertanya dari tadi, aku kira kau benar-benar mahu tahu, jadi, ini jawabku... Aku berduka dengan manusia, manusia seperti kau sempurna, kalian mampu melata segenap ruangan alam, kalian mampu berbicara dengan akal, kalian mampu segala segi, tapi kulihat, kalian lupa pada Pemberi"
Diam.
Bunga : " malah kalian teruk membelasah kami makhluk renek. Kalian berdansa atas kehidupan kami, kalian merosak atas udara nafas kami, kami berzikir dalam kesakitan, kami bernyawa dalam ketakutan"
Diam lagi.
Bunga : " kalian melontar kata tinggi angkuh egonya, kalian bangga berbicara tentang masa depan"
Terus menyepi.
Bunga : " jika kami dizinkan untuk bergerak, kalianlah tempat pertama kami tuju untuk meludah madu, biar rasa manis madu kami kerana zikir, biar terpalit berkah zikir kami di wajah kalian, biar melekat huruf zikir kami di kulit kalian"
Cukup bunga!
Bunga : " belum! kalian bangga menjadi perosak, kalian bangga menjadi pemusnah kehidupan, kalian buta tentang kami alam seluruhnya, kami sentiasa memberi amaran pada kalian, amaran tentang kita sama-sama hamba al-Khaliq, ombak pernah bersuara hingga musnah negara berantakan. Angin juga letih mengamuk hingga terbang seluruh atap teduhan kalian. Hujan juga kering airnya hingga tenggelam negeri tinggal bukit. Mentari juga merah berpeluh mengontangkan tanah hilang suburnya. Kemana akal kalian?"
Bunga, kalammu berbisa. Menyerap ke seluruh nadi uratku. Sakit dan pedih. Cukup dulu, hentikan sindiranmu.
Bunga : " ini hanya bicaraku. walau aku sering menjadi pujaan kalian, tapi aku tidak tertipu dengan pujian kalian. Kau perlu bersyukur kerana hari ini aku yang berbicara, aku khuatir jika suatu hari, makhluk lain yang berbicara, mereka tidak lemah sepertiku, mereka akan berbicara dengan tindakan, kau bersiaplah"
Mengangguk, mengerti mesej bunga.
Bunga, kau tidak perlu ke langit ke tujuh, atau ke dasar dalam itu, kau disini saja, dan kembangkan kelopakmu, dan teruskan zikirmu.
Pertemuan berakhir.

Kembali berzikir

Bismillah walHamdulillah. Lama menyepi. Sepi dari berbicara, sepi dari berkata-kata, sepi dari berbisik, sepi dari bermadah. Sunyi. Laman ini seolah sudah tidak bernyawa. Lantas dikunci seketika. Walau dunia nyata ributnya kian mengencang, laman ini bagai terbang di kota sepi yang berawankan mendung tebal menghitam. Ke mana menghilang aksara dulu?Yang susunannya kerap dan berirama?


Aku ketawa sendiri. Ketawa pada diri sendiri. Dulu, aku mudah. Segalanya hanya dikamar sendiri, siang dan malam mampu menghias laman. Tapi, kini aku kena akur. Sejak berpindah dari kota bayu ke kota debu, kehidupanku sedikit terhad. Segala pergerakan hanya disiang hari. Malamnya menjadi suri di taman srikandi. Jadi, untuk seketika, sengaja dikunci, biar berhabuk dan berdebu, alang-alang kan... :-)

Harapannya, biarlah kali ini, laman ini terus bernafas, mudah-mudahan bermanfaat. Buat mereka yang bertanya-tanya tentang laman ini, nah..aku berikan paparan wajah baru ini. Hanya ini yang termampu. Belum berguru secara mahir, bila agaknya ya..? Konsep baru yang kubawa, bersama alam yang menjadi teman berfikir, aku garapkan menjadi ilham bicara.

Kini , masidas sudah punya studio sendiri. Sempat berguru, Alhamdulillah. Ingin berterima kasih pada dua guru (Us Wafiy dan Us khairul dari Syoubra), jasa kalian amat tinggi nilainya. Berapa ramai sangat akhawat yang berkemampuan dalam bidang ini, jadi jazaKumullahu ahsana al-jaza' buat kalian, semoga bertolong menolong ini satu sumbangan terbaik untuk keindahan Islam yang sememangnya sedia indah.

****tapi belum terbit-terbit hasil yang kalian nantikan itu..doakan hasilnya, ya.

Wednesday, January 21, 2009

Aku terima nikahnya...

DEDIKASI KHAS BUAT SAHABAT TERSAYANG
RAUDHAH BINTI ARSYAD DAN SUAMI DR. MOHD NUR AZLI
BARAKALLAHU LAKUMA WA BARIK A'LAIKUMA
Coretan ini aku tulis pada hari istimewa. Istimewa kerana genapnya usia mencecah angka 25 tahun. Satu angka yang sudah cukup baik untuk berdiri diatas kaki sendiri dan bijak dalam membuat sesuatu keputusan, fikirku. Dalam keriuhan usia makin menginjak, aku dihujani dengan banyak perkhabaran dari teman-teman tentang status mereka yang akan bertukar, ada yang dari gelaran 'cik' akan bertukar kepada 'puan', dan ada yang sudah bergelar 'ibu'! mabruk alaikum!!!




Tapi itu semua perkhabaran yang aku terima dengan hati gembira dan bahagia, menumpang rasa bersama mereka. Tapi, perkhabaran satu ini, aku terima dengan amat-amat gembira, tetapi ada satu rasa yang aku akan kehilangannya. Dia, sahabat yang aku sayang dan kasih amat. Padanya segala rasa ku curah, segala cerita kukongsi, dan segala seribu satu macam hal, kami berhiwar...tapi itu dulu... lantaran cita-cita, kami terpisah atas batas masa dan tempat, hakikatnya hati kami masih bersama.


Namun, masanya sudah tiba, ceritanya tidak lagi boleh dikongsi kesemuanya, kasihnya tidak lagi sama seperti dahulu, masanya dan komitnya tidak lagi padaku sepenuhnya. Dia punya insan yang lebih aula dariku, dan dia punya satu ruang lagi untuk berbakti pada agama. Dan aku, kini berdoa untuknya semoga dia dan suaminya dilindungi Allah SWT pada setiap masa dan ketika, dicurah rahmat dan mawaddah yang melimpah, dipayungi atap rahmah seluas capaian langit, diikat kedua hati ini dengan ikatan simpulan agama dan ketaatan, semoga pasangan ini kekal dunia dan akhirat. Aku merinduinya kerana dia sahabatku dunia dan akhirat.

Monday, January 05, 2009

IMTIHAN LAGI

Bahangnya aku turut terasa, manakan tidak, duduk bersama adik-adik yang sedang sibuk mengasah 'pedang'. Makannya berwaktu, tidurnya terhad, boraknya ringkas, berguraunya sekadar, dan pelbagai lagi. Semuanya panahan imtihan yang makin hampir, malah sudah bermula bagi mereka-mereka yang takhaluf.


Cemburu? adik-adik ini cemburu katanya padaku. Sedikit tergugat melihat aku lena asyik, tika lewat malam mereka masih tekun menahan kantuk menelaah kitab. Mengapa harus cemburu dik, kakak juga pernah begitu dulu, malah lebih lagi, semua demi cita-cita, kan??


Kesempatan ini, kakak mahu menukil sedikit perangsang buat adik-adik, juga sahabat-sahabat sekalian. Pertama tika mahu mula menelaah, ikhlaskan niat ya. Itu yang selalu dipesan ketika akak diambang ribut perasaan menelaah kitab. Juga, selalulah bersolat taubat. Dosa kita, siapa yang tahu, kan?Lagi... selalulah sedekahkan al-Fatihah buat doktor dan doktorah kita, juga pada semua guru-guru yang pernah mengajar kita.(Junjungan Mulia baginda Nabi sudah semestinya, ibubapa jangan dilupa).


Ok, selebihnya, keyakinan diri selalulah ditingkat, kita sahaja yang tau semangat kita dimana, betul??Terlalu banyak ingin diperkata,kerana akak sering diminta memberi semangat, aduh..kalian kakak lihat jauh lebih bersemangat dari kakak, tapi benarlah, ketawa diluar, dihati siapa yang tahu kan??Menangis saja dik kalau rasa tertekan, alirkan seketika buat melepas rasa, selepas itu, tenangkan dengan solat.InsyaALLAH semuanya akan khair..


Jumpa lagi, ingat, kita harapan ummah! BITTAUFIQ buat semua!!!


TAHUN BARU???


Ya Allah, masa memang tidak dapat dilihat, disentuh, dibau, didengar dan dirasa secara zahir. Namun, tanpa diminta, masa berlalu dengan pantas melewati zaman berzaman. Manusia berubah dari segala segi, tamadun, pemikiran, cara hidup, namun, fitrah manusia tetap tidak berubah. Masih inginkan yang baik-baik. Tapi hairan kan? jika baik yang diingini mengapa dunia seolah terlalu sempit mahu bernafas. Lelah dalam berbicara. Keras dalam bergerak. Hanya masa yang tahu kisahnya, kerana masa melewati segenap ruang, menyapa semua makhluk, bermesra dengan seluruh alam. Kata masa, ada yang rugi, ada yang untung.
Kesempatan ini, mahu mengucapkan Selamat tahun baru hijrah dan Masehi. Tidak takut?? erti tahun baru itu jelas mengkhabarkan tentang kematian makin hampir...dunia makin tiba ke garisan penamat..fikir-fikirkan azammu, jika sekadar untuk kehidupan dunia, malulah dengan masa...end-


Alfun Mabruk

"Tahniah buat semua sahabat-sahabat dari Fakulti Usulludin -qisim Tafsir, Hadith dan Aqidah Falsafah- Semoga Ilmu yang kita perolehi mampu menjadi penawar bagi penyakit masyarakat sekarang. Tugas kita, amanah kita, tanggungjawab kita. Dimana pun kita diletakkan, itulah medan kita. Sama-sama fikirkan untuk umat- bukan lapangan diri sendiri."- masidas.
**********
Alkisah...
Bismillah wal Hamdulillah. Syukur setinggi-tingginya aku panjatkan pada Pemberi nikmat. Rasa bahagia meresap tenang segenap jiwa. Manakan tidak, nikmat yang bertuah masih setia menemani diri, moga-moga hingga mati, nikmat itu tetap mengiringiku- amen-. (Iman dan Islam).
Sudah lama aku berkira mahu menukil tentang ini, tentang satu kata hati, tanda satu rasa, tanda satu suara,yang disimpan sekian lama, menanti masa untuk dihembur.Elok kiranya aku mula dari mula, dari pertama kali aku ditakdirkan menjejak ke bumi bertuah ini. Aku sebenarnya bukanlah siapa-siapa, hanya seorang hamba yang terlalu biasa, dan tidak setangkas mana.Aku biasa!!! Saat pertama kali mengisi borang ke Universiti al-Azhar, hati masih teragak, mahu ke sanakahh??Tapi itulah yang dikatakan takdir Tuhan, segalanya mungkin walau diluar jangkaan manusia. Satu impian yang lewat aku impikan…akhirnya, segalanya siap tanpa apa-apa musykilah.

Ke Mesir jua

Di KLIA Sept 2005, seorang demi seorang aku peluk dan bersalam, aku akan berangkat!Oh Allah, aku akan ke sana??? Air mata mengalir tanpa dipaksa, mak sedikit risau lalu berkata "bukan nak pegi mana pun, pegi belajar ja..nanti baliklahhh…"oh mak…. (rindu menerjah kuat..). jejakku bersama-sama dengan teman-teman satu kolej (KUSZA), kami menaiki kapal Qatar, perjalanan memakan masa selama lebih dan kurang 12-15 jam, aku kurang pasti, lamanya kerana transit di Dhoha,dan perjalanan kami ini diketuai oleh ustaz Bukhari dari Terengganu. Rombongan kami tiba lewat senja, penat, lapar segalanya bercampur.

Imtihan Qabul

Kata teman-teman, anak-anak yang lahir pada tahun 1984 kerap menjadi bahan ujikaji, bahan permulaan, bahan pengakhiran dan sebagainya. Aku kurang pasti, tapi memang kerap terkena pada kelahiran tahun ini. Kami datang atas tiket pelajar muadalah, yang mengikut perjanjiannya, kami hanya perlu menyambung pengajian di sini dalam tempoh setahun untuk mendapatkan kelulusan Ijazah Sarjana Muda. Namun, sistem ditukar, kami perlu mengikuti satu ujian bertulis untuk melayakkan kami memasuki kelas pengajian tahun akhir, di university teragung ini.
Ujian selamat diduduki, dan natijahnya menghasilkan hampir 60%-70% pelajar-pelajar muadalah yang datang pada tahun ini terpaksa turun ke tahun 3, termasuklah aku. Dengan semangat dari keluarga, dan mengikut timbangan akal sendiri, aku memang layak di tahun 3 dahulu, mula dari bawah itu tidak salah dan tidak ada ruginya.

Muqayyat di Alex

Namaku dihantar ke Iskandariah atau lebih glamour dengan Alex ;-) .Disinilah aku memulakan semangat dan azam baru. Di bumi berpantaikan pepasir putih, berlautkan ombak biru, berbumbungkan langit cerah dan lapang. Aku bahagia disini. Bersama teman-teman keliling, kami menelaah pelajaran, berkongsi nota, berbincang tajuk. Tahun pertama menduduki peperiksaan disini, aku dilanda demam kuat…kata kakak lama, badanku tidak biasa dengan angin laut yang kuat, ditambah dengan musim sejuk yang tinggi, aku terlantar dan menggigil..kasihann..

Peperiksaan fasa pertamaku aku kira 2 madah aku tidak lulus..itu perkiraan ku sendiri, harapnya tidaklah sampai begitu. Hinggalah peperiksaan fasa kedua tamat, aku benar-benar takut akan natijah. Takut kerana pasti, ada madah yang tidak lepas kerana waktu aku demam itu, aku hanya menghadiri peperiksaan- tulis nama- nombor kerneh- kemudian aku tidur hingga waktu tamat.Natijah menjenguk diri – "ida, ada 3 madah tak lepas…." Itu perkhabarannya. Aku diam dan duduk terkaku.

Tahun I’adah

Tahun kedua disini, aku lalui tanpa teman-teman dahulu, mereka sudah ke tahun akhir, cuma aku sendiri walau hakikatnya masih ada teman yang senasib, tapi aku tetap rasa tertinggal. Aku membawa 3 madah untuk satu tahun. Aku diajak untuk rayuan rafa’ madah, aku tolak. Biarlah, mengapa perlu dirayu sedangkan aku memang tidak menjawab madah itu…usaha sendiri lebih afdhol. Setahun yang dilalui bukan lama, namun sedikit perit. Aku dipanggil pulang ke tanah air akhir peperiksaan fasa ke dua . Terlalu banyak perkiraan yang diambil pada tahun ini, satu- satu aku diuji untuk mematangkan diri. Aku terlalu bersyukur amat. Dengan melalui ujian-ujian ini, aku lebih kenal siapa yang perlu untuk didahulukan dalam apa-apa sahaja keputusan yang diambil. Hidup lebih bermakna dengan peristiwa itu.

2008 dan tahun 4

Mahu tahu? Natijah I’adahku memungkinkan aku meneruskan pengajian ke tahun akhir disini, tapi, aku ke tahun akhir dengan membawa 2 madah tahun 3.Alhamdulillah walau ralat kerana hanya lepas satu madah..apa yang aku buat sepanjang I’adah yang lalu..??oh Allah…
Sepanjang fatrah peperiksaan 2008, tahun inilah yang banyak menyaksikan aku berlawan. Berlawan dengan diri sendiri, berlawan dengan perasaan, berlawan dengan hati yang hampir kalah! Kalian tahu…aku hampir tersungkur pada tahun ini. Terlalu banyak aku dilanggar dan dihimpit. Semangatku entah kemana hilangnya, jiwaku entah sunyi menyepi tanpa isi. Aku menangis.
Kesempatan inilah aku mahu mengucapkan jutaan terima kasih pada dua orang sahabatku yang paling banyak menemaniku sepanjang peperiksaan lalu. Mereka menyuntik semangatku yang kian kabur, mereka menjentik tangkai hatiku untuk teruskan menuntut. Hasanah Ibrahim dan Rabiatul Ajrina Isa, jazakumullahu Khairan jazak…juga buat sahabat-sahabat lain.
Disaat sahabat-sahabat lain sibuk menelaah madah tahun 4, aku sibuk bergelumang dengan 2 madah Takhaluf tahun 3…juga saat ini, sms dari ayahanda tercinta juga bonda tersayang banyak mengirim kata-kata semangat dan doa, aku sedikit berkeyakinan menghadapi peperiksaan ini. Hinggalah tamat madah terakhir peperiksaan fasa kedua, aku bertawakal padaNya.
Natijah
Balik dari kelas markaz nil, satu sms masuk " tahniah Jayyid!!". Hah?? Ya Allah, Maha Adil dan Maha Mengetahui—apalagi yang mampu aku lakukan selain sujud tanda syukur dari seorang hamba yang dhoif pada Yang Maha Pemberi rezeki.

Lebih mahu

Tanpa diminta aku kembali mahu mengutip ilmu disini. Mahu yang amat walau panggilan dari tanah air menyeru meminta pulang. Apakan daya, terasa amat kekosongan untuk pulang dalam waktu-waktu begini. Lantas satu sesi rayuan dibuat dan aku hamparkan hasrat hati pada ayahanda dan bonda, kumohon izin dan restu, apatah lagi redha mereka. Berat asalannya, bertimbang kira, memujuk kata, menangkis kepentingan perasaan, lantas keizinan itu diperoleh dengan dorongan penuh dari mereka—Walhamdulillah.

Syukur

Berkali memesan pada diri, cuba dan sentiasalah melafaz syukur. Dengan izinNya, aku masih mahu menuntut, jika bukan dengan kehendakNya, sudah pasti aku pulang dan mengejar urusan-urusan dunia. Berkali disogok dan dijah-jahkan tentang pelbagai tawaran kerja- nantilah, aku perlu pulang untuk umat, bukan untuk diri, itu hasratku. Dan aku mohon doa kalian, doakan aku sentiasa terbuka hati untuk bergerak dijalanNya, mohon dan biarkan aku mati dalam jalanNya. (terlalu takut tersasar). Sekadar ini dulu riwayat mengapa aku disini lagi, dan tinggalkan persoalan bila mahu pulang jauh dilubuk hati kalian, kerana aku sendiri belum arif tentang itu, dan jika permohonan VISA ku diluluskan, maka panjang lagi masaku disini…

Sunday, December 14, 2008

"bila diri memujuk hati, lahir satu rasa damai meresap syahdu..."




Akal berfikir, Hati berzikir




Sepanjang bermukim di kota Kaherah, terlalu banyak yang aku timba. Belajar mengenali hati budi manusia. Kufikirkan, aku cukup faham tentang manusia, rupanya tidak, masih terlalu banyak ragam manusia yang aku belum jumpa. Kadang hati berdetik, "Ya Allah, pelbagai sungguh ciptaanMu.."Mereka yang tahu tentang nilai-nilai dan hak-hak manusia keliling, pastinya bijak mengatur tingkah berbudi bicaranya. Berkali aku dipesan supaya bijak membawa diri ditempat orang, kita semua adalah penumpang di bumi Allah, mengapa harus gusar tentang hak milik???Tiada apa yang kita miliki selain berstatuskan "peminjam". Mengapa harus sombong dan cuba menafi hak orang lain??"Astaghfirullah..ampuniku Rabbi, jika aku tersilap .."Manusia itu sama zahirnya, punya rambut, sepasang mata, sepangan tangan dan sebagainya, cuma beza manusia itu--KETAQWAAN-




"Akal, bijaklah berFIKIR tentang hikmah, Hati, laksanakanlah ZIKIR penuh penghayatan"




Muafakat membawa Berkat




Lama tidak menapak ke sini. Teman-teman bertanya, "ke mana menghilang??sudah di tanah air??atau sudah berwalimah.." aku ketawa. Lucu mendengar gurauan teman-teman lewat emel juga sms yang dikirim. Jadi, ruang masa seketika ini aku mahu kuasai sepenuhnya untuk mnyusun aksara, membina bait, mengatur bicara. Teringin amat bercerita disini. Sesi lepas, ruang ini menjadi temanku meluah rasa hati. Tapi itu dulu, sewaktu aku masih mernafas bersama bayu lembut Iskandariah. Kini, aku menghela udara berdebu kota Kaherah. Jadi rutin harianku berubah 100%. Tiada lagi suara Faris anak mama jiranku, tiada lagi ganguan loceng dari hamada yang kerap datang meminta duit, tiada lagi suara tetangga beramah mesra sesama mereka, tiada lagi laungan ammu-ammu menjual sayuran saban siang. Semua itu kenangan, aku akur.


Di sini, masa ku terisi dengan aktiviti anjuran KPIPM. Sedikit bersyukur, kami anak-anak perak kini berpindah sementara di imarah lain, bunyinya mahu diislah bangunan wisma itu, mudah-mudahan selamat semuanya. Yang menarik, dalam tenpoh seminggu proses perpindahan ini, dirumah sementara ini juga anak-anak perak sempat menumbangkan 2 ekor unta juga 4 ekor kambing, sempena eid adha baru-baru ini. Berkat kerjasama semua, majlis yang dirancang berjalan dengan baik. Biar ada sedikit bunyi keluh kesah dan 'berkira' tapi itu hanya suara kecil yang mungkin tersembur kerana keletihan akibat penat mengangkat barang sewaktu berpindah, itu semua difahami. Konsep maaf memaafi patut diamalkan, supaya tiada yang menyimpan rasa dan tiada yang berkecil hati kerana tersinggung. Itu ajaran Islam.
Moga kita dilindungiNya




Sunday, November 09, 2008

Sekilas

"Hampir sebulan menyepi, kaki yang melangkah amat jauh rajuknya, mata yang melihat makin saujana samarnya, telinga yang mendengar amat dalam dengungnya, mulut yang berbicara amat sepi kalamnya..."
********
Undur ke Depan, Mara ke Belakang
Sinis hati ketawa, mambaca bait title entry ini.Normal, sesiapa yang rasa tiada kepelikan pada tajuk ini, semestinya dia yang pelik.Aku mendapat ilham ini tatkala menyertai satu majlis rasmi pada satu malam, dimana pengerusi majlis mengumumkan dengan berkata "diminta para hadirin undur ke depan dalam kiraan 3" undur kedepan?aku ketawa lucu, namun, serta merta terlintas satu mesej meminta aku untuk sentiasa belajar dari alam.Aku diam, memikir semula kalimat itu.Serius.
Lantas, aku mengambil sesuatu, sesuatu yang berlaku di alam ini. Sedar atau tidak,kita sedang ketawakan diri sendiri, termasuk aku!!! Ya Allah...
Dunia ini hakikatnya makin kebelakang, makin mengurangkan umurnya, makin menuju ke garisan penamat, tapi manusia makin mengejarnya, malah semakin laju,betulkan??? Keduanya, Mati yang sentiasa menanti dihadapan itu, sering 'terlupa' atau lebih tepat, 'dilupakan', wanauzubillah.. Hidup kita dijulang-julang dengan menghela hanya sekadar nafas seorang hamba kepada Yang Maha Agung.Berfikirlah, dimana matlamat kita, dan dimana yang perlu kita undurkan, dan dimana yang perlu kita marakan..semoga hidup kita kembali normal selari dengan perintah Al-Khaliq.
********
"Bukan rajuk yang ingin dipamer, sepi dan diam itu dengan sengaja, lantaran diamnya bersama sepi mampu menghasilkan satu pertemuan yang dicari...semoga dirahmati"

Tuesday, October 14, 2008

JanjiNYA

SATU KELAHIRAN

1 Syawal yang lalu, satu mesej diterima. Aku senyum sendiri sambil hati berbunga bahagia. Pantas mesej dibalas mengucap tahniah dan rasa gembira turut dilayangkan. Hati kepingin sekali mahu menatap wajah baru yang diberi nama MAJDAH SAFFIYAH, dan hari ini, aku berpeluang menatap walau sekadar didalam gambar, kecomelannya tetap terserlah, masih merah dan putih bercahaya. 'Kain putih' ini terlalu bersih untuk digambarkan. Warna dan berus lakarannya ditangan abi dan umminya. Semoga Majdah menjadi anak yang solehah dan seorang yang bergerak dijalan yang HAQ. Harapan ini bukan saja-saja, harapan ini selain kerana dia dan kita hambaNya, harapan ini juga untuk mengingat diri yang kita hanya sementara di sini... sementara yang hanya seketika. [tahniah pada lia dan munir]

" Setiap umat mempunyai tempoh yang ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula didahulukan " (Surah al-A'raf 34)

SATU PENGAKHIRAN

Juga, pertengahan Syawal ini, aku mendapat perkhabaran tentang 2 hamba Al-Khaliq kembali kepada Penciptanya. Dua nyawa yang kembali untuk selamanya. Mendengar khabar itu, hati jadi gentar, jiwa jadi sayu, lantas akal terus bertanya pada hati, 'masaku bila pula..?' mengingati itu, segera lafaz doa meniti dibibir...' oh Allah, matikan kami dalam iman...akhirkan kami dalam redhaMu, tamatkan kami dalam husnul Khotimah'. JanjiNya pasti, itu yang mesti diingat kuat dalam hati. Andai tersasar lagi memori muhasabah, segeralah kembali sebelum kita 'dikembalikan'. Salam takziah pada 2 teman, semoga redha dengan pemergian insan tersayang.

****************
KISAH 'ANAKKU'
Melihat wajah Majdah Saffiyah, aku segera merindu pada wajah comel 'anakku'. Rindu bertandang meribut segenap hati. Segera merintih gambar terkini ammar. Alhamdulillah, menumpang kecanggihan maya, segera gambar dilayangkan. Comel kacak berbaju melayu di hari raya. Anak itu makin petah, makin lincah, makin bijak, makin comel, makin dan makin! Tanda usia makin membesar. Dan lagi, anak comel ini terlalu manja dengan tok wannya. Kadang-kadang menerbitkan rasa cemburu dan geram dari mak su dan mak ciknya.
Mengimbas kalam-kalam geram dari adik-adikku "ammar manja sangat ngan abah" - "kalau kena marah ngan mak, dia mesti cari abah"- "ammar ada lagu untuk abah, dia suka nyanyi, lagu macam ni ~~aku cinta tok wan~~~" - "asyik nak dok ngan abahhhh je"
Macam-macam anak ini ;-) .
Macam mana nanti ye ammar, bila mak ngah dah lahirkan baby baru... masih kekal carta ammar?? kita tunggu ;-)

************

Pantun hati dara

Cantik bunga kerana mekarnya,
Indah insan kerana akhlaqnya.


Burung serindit terbang melayang,
Hinggap sebentar diranting mati,
Bukan ringgit menjadi pandangan,
Budi bahasa tambatan hati.

Pisang emas di atas peti,
Buah kelapa di dalam perahu,
Jika ada pilihan hati,
Mengapa malu mahu mengaku?

Dagang tuan dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu,
Jika enggan tolak beradat,
Agar tiada meluka kalbu.


Hamparan tuan hamparan baldu,
Hamparan saya mengkuang layu,
Harapan tuan harapan kalbu,
Harapan saya harapan sendu.
Mangingati janji Tuhan, bisikan ditolak tepi, segera mengikat hati utuh pada taliNYa... kerana janjiNYa PASTI.

Wednesday, October 08, 2008

Andai itu akhirnya

" Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya "
******
Idulfitri baru saja berlalu. Perayaan yang masyhur dengan rasa berlapang dada untuk memaafkan sesama insan. Jika dulu bertekad 'aku takkan maafkan kau', kalimah itu bagai besi melebur dengan kedatangan hari barakah. Betapa berkahnya kedatangan Syawal. Mungkin juga kerana tarbiyah Ramadhan sedikit sebanyak membentuk hati insan menjadi seorang yang pemaaf. Bukan mudah memaafkan orang, juga, orang yang meminta maaf atas kesalahan yang dibuat, kedudukannya tidak rendah.Memoriku terimbas pada slot motivasi yang dikendalikan Dr. Haji Fadzilah Kamsah, katanya, untuk membersih hati, sentiasalah memaafkan orang, sebelum tidur, niatkan dalam hati, 'hari ini, aku memaafkan semua orang samada aku sedar atau tidak'... Allahhh..,indahnya Islam mengajar umat. Hati mudah menjadi lembut, jiwa lapang dalam berukhwah, naluri senang dalam menjalin persahabatan dengan sesiapa sahaja. Hati yang dulu pernah terluka, pasti terubat dengan menggunakan kaedah ini. Biar payah memaafkan orang, paksa dan berusahalah!!!
******
Tapi...
Jika katanya enggan,
Jika katanya tidak,
Jika katanya nanti,
dan jika katanya tidak mungkin,
Beringatlah tentang hari kebangkitan...
******
~~~LA TAHZAN~~~